Lelaki..

Di bawah ini disenaraikan beberapa KESILAPAN yang lazim dilakukan oleh lelaki dalam hubungan bersama pasangan mereka. Diharap kaum adam dapat mengambil manfaat dari artikel ringkas ini. Kaum Hawa di luar sana pun, boleh baca..tiada larangan mahupun sekatan.



KESILAPAN #1: 'all out'


Ramai lelaki mengambil pendekatan all out (berusaha sedaya upaya) ketika mahu memikat, dan apabila wanita itu sudah berjaya dipikat (atau dikahwini), si lelaki sudah 'kepenatan' dan berada dalam keadaan 'relaxed mode'. Dah jadi malas. Inilah kesilapan NOMBOR SATU.

Ramai wanita merungut bahawa teman lelaki atau suami mereka tidak lagi romantik, penyayang dan prihatin seperti di awal waktu perkenalan. Sekarang anda dah nampak di mana masalahnya?

Usah terlalu 'bersungguh-sungguh' ketika mahu memikat si dia. Berpadalah dalam memberi hadiah, mengirim kad ucapan, atau mengemaskan penampilan diri..jangan keterlaluan. Anda akan susah di kemudian hari, kerana dia akan mengharapkan anda terus bersikap seperti itu HINGGA KE AKHIR HAYAT.

Anda tidak boleh salahkan dia juga. Dia bersetuju untuk bersama anda kerana dia berpuas hati dengan 'persembahan' anda. Sudah tentu dia rasa tertipu apabila 'produk sebenar' mempunyai kualiti yang lebih rendah daripada apa yang anda 'iklankan'.

Sebaiknya; janganlah 'memanjakan' si dia secara berlebihan ketika memikat. Jadilah diri anda sendiri (usah berlakon, atau memaksa diri) dan jangan pula berhenti memperbaiki diri. Jika dia mampu untuk menerima anda seadanya, TAHNIAH untuk anda. Tahniah untuk dia juga, kerana lelaki pilihannya semakin bagus dari hari ke hari, bukannya semakin teruk.

Jika dia menolak cinta anda disebabkan kekurangan yang ada pada anda, diucapkan TAHNIAH juga lepada anda, kerana dia tidak akan merumitkan anda lagi. Move on, carilah sasaran yang baru. Ehem, maksud saya, calon jodoh yang lebih sesuai dan serasi dengan diri anda.



KESILAPAN #2: berbohong


Berbohong memang satu dosa, tapi yang penulis maksudkan di sini ialah jangan berbohong hatta pada perkara yang sekecil-kecilnya.

Ada sebahagian lelaki yang bersikap terlalu mengambil hati, sanggup berbohong demi menjaga hati si dia. Kesilapan ini dilakukan oleh ramai lelaki...terlalu ramai.

Anda tidak mahu si dia kecil hati, maka anda sanggup menjawab "Ya, cantik baju yang awak pakai hari ni", walhal warna atau saiz pakaian tersebut memang tak sesuai dengannya. Atau; "lauk yang sayang masak ni sedap"; padahal rasanya memang tak sedap.

Tapi anda tidak mahu dia kecil hati, maka anda memilih untuk berbohong. Anda tak mahu hal seremeh itu dipanjang-panjangkan lagi. Di sinilah silapnya. Perkara yang lazim dipandang remeh oleh lelaki, selalunya dianggap penting oleh wanita.

Sebaiknya; jawab sahaja dengan jujur tetapi lapiklah sedikit bahasa anda. Bersopanlah. Jika anda terasa sukar hendak berterus terang, jangan jawab soalannya secara direct, sebab tujuan dia bertanya bukanlah untuk menerima kritikan. Dia sebenarnya mahukan sokongan dan penghargaan dari anda. Pandai-pandailah anda menjawab, asalkan jangan BERBOHONG.

Susah? Memanglah! :-D

Tips: jangan fokus kepada hasil usahanya, tetapi pujilah usaha yang dilakukan olehnya. Biar dia tahu bahawa anda faham yang dia telah bersusah payah. Untuk anda!



KESILAPAN #3: memuji kecantikannya


Ah, keadaan menjadi lebih serius apabila si dia mempersoalkan penampilan dirinya. Anda sebenarnya berada dalam keadaan kritikal apabila si dia bertanya: "Saya ni rendah je..abang sebenarnya minat perempuan yang tinggi lampai kan?"
atau; "i ni body tak cantik, tak slim...you mesti suka yang kurus kan?" atau; "saya ni gelap je, hitam..awak mesti suka tengok yang putih, yang kulit cerah, kan..kan?"

Haha, ini semua memang soalan maut. Ramai lelaki yang memilih untuk mengambil jalan selamat, cepat-cepat memuji si dia cantik, lawa, cun, menawan, dan sewaktu dengannya. Inilah KESILAPAN #3.

Apa kesalahannya? Sebab anda sudah jatuh ke dalam perangkap apabila mengiakan bahawa "kecantikan fizikal itu penting".

Memanglah, kecantikan luaran bukanlah tidak penting langsung. Kalau tak penting, mengapa Allah jadikan ahli syurga semuanya cantik dan lawa?

Ok, tapi cubalah soal diri anda; "Kenapa aku pilih dia dan bukan wanita lain?" Takkanlah sebab rupa paras semata-mata? Kalau benar, malanglah nasibnya..Nampaknya wanita itu bukan anda pilih untuk dibuat teman hidup..setakat untuk berseronok mungkin la. Tapi sampai bila?

Inilah yang menghantui ramai wanita (terutamanya wanita yang cantik). Semestinya setiap wanita sukakan pujian. Dia sememangnya sangat suka apabila anda memuji keindahan dirinya, tetapi dia mula diburu kerisauan yang tak sudah, apabila kecantikan yang dimilikinya semakin berkurangan (terutamanya apabila hamil, melahirkan anak, dan usia semakin meningkat). Bimbang dirinya ditinggalkan apabila penampilan fizikalnya sudah tidak menarik lagi.

Maka, apabila dia bertanya soalan seperti di awal tadi, ertinya dia mahukan jaminan dari anda bahawa dirinya tidak akan diabaikan serta dipersiakan kelak.

Sebaiknya; anda tegaskan bahawa kecantikan akhlak, sikap dan perangai lebih penting dari kecantikan luaran. Yalah, buat apa pasangan hidup yang cantik bagaikan model, macam artis, tapi sikap dan perangainya menyakitkan hati..macam Siska (si Bawang Merah)..? Nak buat baka pun tak lulus. (tapi Nia Ramadhani memang cun..hehe)

Anda perlu ingat, kecantikan paras rupa pasti akan luntur suatu hari nanti, manakala keindahan akhlak boleh dikekalkan sepanjang hayat. Lagipun, sikap dan perangai lebih mudah diperbaiki (free je) berbanding penampilan fizikal (perlukan banyak modal).

Tips: pujilah SETIAP kelakuannya yang menyenangkan hati anda. Pasti ada banyak, kan? Cuba elakkan dari memuji paras rupa atau kecantikan tubuhnya..kerana akibatnya kelak akan mendatangkan masalah jangka panjang. Kalau anda hendak puji juga, pujilah bahagian yang tidak akan berubah walau dimamah usia..warna matanya, bentuk hidungnya, atau cap jarinya...haha.

"Rupa yang elok dimanja jangan dimanja, pujalah ia sekadar sekadar saja"


KESILAPAN #4: terlalu jujur


Ya..wanita memang begitu, mereka tidak mahu kita berbohong, tetapi mereka tidak suka juga kalau kita terlalu jujur pada mereka. Jangan terlalu berterus terang.

Anda dah mula pening? Haha, aku dah lebih 20 tahun pening memikirkan hal ini...Jangan silap faham. Maksud saya, jujur secara keterlaluan sampai ke tahap lurus bendul.

Contohnya, janganlah anda beritahu kepadanya bahawa anda sukakan wanita berambut lurus, sedangkan anda tahu semua ahli keluarganya berambut kerinting (temasuk dia). Anda sudah memilih dia, maka wajarlah untuk anda terima dia seadanya. Jangan cipta masalah yang sepatutnya boleh dielakkan!

Ya..Anda perlu tahu menyimpan rahsia. Jangan suka-suka menceritakan padanya tentang ciri-ciri wanita ideal impian anda, atau kisah cinta anda yang terdahulu, melainkan sekiranya anda diminta menceritakannya. Itu pun, pastikan anda tidak akan membuat dia merasa cemburu atau rendah diri. (mission impossible!)

Memanglah orang perempuan ni..mereka memiliki rasa ingin tahu yang teramat kuat..mereka akan desak anda untuk beritahu. Akan tetapi jika kita ceritakan kesemuanya, mereka akan ingat perkara itu SAMPAI BILA-BILA. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata anda tanggunglah sendiri.

Jadi, hati-hatilah. Sebaiknya; jangan diceritakan ciri wanita ideal yang TIDAK dimiliki olehnya. Dan usahlah terlalu memuji bekas pasangan anda di hadapannya, dikhuatiri akan membuatkan dia dibelenggu rasa rendah diri seumur hidup (dan asyik mengungkit bahawa dia bukanlah yang terbaik untuk anda).

Jangan pula mencela bekas pasangan anda, kerana si dia melihat dirinya sebagai wanita yang menggantikan tempat itu di hati anda. Hormatilah mereka (pasangan dan bekas pasangan anda) sebagai wanita. Dalam masa yang sama, elakkan dari terjebak dengan kesilapan #2; iaitu JANGAN BERBOHONG!



KESILAPAN #5: melayannya bagaikan lelaki


"..dan tidaklah laki-laki itu (sama) seperti perempuan.." -Surah 'aali `Imran, ayat 36

Tidak perlu rasanya dihuraikan dengan panjang lebar di sini. Wanita memang sangat berbeza dengan lelaki..tidak kiralah samada dari aspek fizikal, mental, emosi mahupun psikologi.

Namun kadangkala terdapat juga lelaki yang lupa tentang hakikat ini. Pasangan dilayan sama seperti melayan lelaki, samada dari aspek tutur kata ataupun perbuatan.

Jangan paksa dia menonton perlawanan bola bersama anda, melainkan jika dia memang meminati sukan bolasepak. Elakkan bergurau dengan gurauan yang kasar atau berunsur lucah. Mungkin rakan sesama lelaki menyukainya, tetapi kebanyakan wanita bencikan gurauan sedemikian. Usah gunakan bahasa yang kesat. Diulangi, hormatilah dirinya sebagai SEORANG WANITA.

Jika moodnya kurang baik dan mula berleter atau marah-marah, biarkan sahaja..jika anda lawan cakapnya pun, sia-sia sahaja kerana waktu itu dia telah menyekat mindanya dari menerima input..(full output mode). Lebih baik anda tunggu sehingga dia tenang semula, barulah bercakap dengannya. Kesabaran amat diperlukan, tidak kira betapa geramnya anda.

Pantang seorang lelaki yang budiman menyakiti wanita. Hanya lelaki pengecut dan bacul sahaja yang melakukan kekerasan terhadap wanita.

______________


Cukuplah lima kesilapan yang disenaraikan di atas. Mungkin ada banyak lagi, (kalau aku senaraikan banyak-banyak pun bukannya korang nak ingat..hahaha)tapi sekiranya kita dapat elak yang lima ini pun, sudah banyak membantu untuk mengekalkan sesebuah hubungan...insyaAllah.

Manusia yang berakal belajar daripada kesilapan sendiri, orang yang bijaksana pula belajar dari kesilapan orang lain.

Siboney

 
Copyright 2009 y5050. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase